Sabtu, 1 Ogos 2009

ISA dari Siasah

KUALA LUMPUR, 1 Ogos: Perhimpunan Mansuhkan ISA dianggap berjaya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila lebih 100 ribu berhimpun di ibu negara hari ini walaupun mereka tidak berjaya berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum akibat sekatan tegar polis.

Dalam sidang media bersama pemimpin Pakatan Rakyat dan GMI di pejabat agung PAS, Anwar berkata, tindakan tegar polis menghalang perarakan ke Istana Negara menyebabkan peserta perhimpunan berselerakan di seluruh ibu negara.

Turut serta berada di ibu negara adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Sebahagian besar peserta perhimpunan pula berhimpun di tiga tempat iaitu Sogo, Masjid Jamek dan Pasar Seni. Namun mereka tidak berjaya berkumpul sekali untuk berarak ke istana kerana sekatan tegar polis.

Mereka hanya berjaya berkumpul sekejap di depan Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut untuk mendengar sedikit ucapan pimpinan Pakatan sebelum disembur air dan gas oleh polis.

Anwar kemudiannya mengadakan sidang media dalam bangunan pejabat PAS itu bersama pimpinan Pakatan dan GMI.

Anwar berkata, memorandum 10 tuntutan akan dihantar ke istana Negara apabila suasana mengizinkan.

Lebih 200 peserta pula ditahan polis termasuk para peniaga yang disyaki menjual barangan berkaitan Pakatan Rakyat dan ISA.

Antara tokoh yang ditangkap adalah Mujahid Yusof, Sivarasa Rasiah, Norlela Othman, Aiman Athirah Al Jundi dan beberapa nama besar lagi.
Posted by Siasah at 5:05 PM 41 comments
Polis terus berkawal dan buat tangkapan

refresh untuk terkini

5.45 petang

FRU dan polis terus menembak dengan pancutan air di sekitar masjid Jamek. Semua yang lalu berhampiran kawasan itu terkena semburan air itu, lapor rakan Siasahdaily dari sana.

Polis juga terus mengawal dan membuat tangkapan di sekitar Sogo dan Masjid Negara. Kira-kira 2,000 masih berada di Masjid Negara.

Jalan menuju ke Istana Negara terus ditutup kepada semua kenderaan.

5.20 petang

Suasana masih hiruk pikuk di Masjid Negara apabila jamaah yang menunai Solat Asar di sana terpaksa berdepan dengan semburan air dari polis. Ekoran itu takbir bergema di situ, lapor rakan Siasahdaily di sana.

5.00 petang

GMI akan menghantar tuntutan 10 perkara kepada Yang Dipertuan Agung walaupun tidak berjaya ke Istana Negara hari ini. Datuk Seri Anwar telah membacakan tuntutan itu dalam sdiang media di Pejabat Agung PAS sekejap tadi.

Turut hadir dalam sidang media adalah para pemimpin Pakatan dan GMI.

4.50 petang

Lebih 15,000 berkumpul di perkarangan Pejabat Agung PAS, JalanRaja Laut. Para pemimpin Pakatan memberikan ucapan termasuk Datuk Seri Abdul Hadi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Majlis di situ bersurai apabila Abdul Hadi selesai membacakan doa.

Lebih 200 sudah ditangkap namun para peserta perhimpunan berusaha untuk meneruskan agenda mereka iaitu ke istana negara. Lebih 20,000 kini berada di tiga pusat utama, Sogo, Masjid Jamek dan Pasar Seni.

Pusat tahanan adalah Balai FRU Cheras. Mereka kini sedang memberikan keterangan kepada polis. Antaranya adalah peguam Sivarasa Rasiah.

3.00 petang

Sekumpulan peserta perhimpunan mengadakan solat hajat atas Jalan Kucing dekat bangunan Dayabumi. Mereka dipimpin oleh Mujahid Yusof. Namun mereka juga disembur dengan air oleh polis dan terpaksa bersurai.

Peserta yang berkumpul di Sogo diarah ke Jalan Raja Laut dan kumpul di depan pejabat PAS. Mereka kemudian mendengar ucapan dari pemimpin Pakatan Rakyat di sana.

1. 40 petang

Tiga penggerak wanita GMI ditangkap di Sogo. Norlaila Othman, AJK GMI (isteri Matsah Satrey yang masih dalam tahanan ISA) bersama anaknya Noshita Mat Nor ditangkap bersama AJK Muslimat PAS, Aiman Athirah Al Jundi. Turut ditangkap Salmah Ismail (PKR), Hayati Abd Samad (PKR) .

Tiga lelaki juga ditangkap di Masjid Jamek namun belum dapat disahkan nama mereka bertiga.


1.20 petang

500 penyokong mula memenuhi sekitar masjid Jamek namun sehingga kini belum kelihatan para pemimpin PAS, PKR atau DAP lagi di kawasan perhimpunan.

Mereka kemudiannya lari ke Masjid India dan Pasar Seni apabila polis menghalau mereka. Kebanyakan mereka tidak memakai pakaian rasmi perhimpunan iaitu merah dan hitam.

Di Masjid Negara juga orang ramai mula memenuhi perkarangan dan dalam masjid. Mereka berarak dari stesen keretapi ke masjid itu untuk menunaikan solat Zohor.

Orang ramai juga memenuhi Sogo. Kelihatan polis mengawal ketat kawasan itu termasuk menggunakan helikopter yang berlegar rendah di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Anggota polis memenuhi perkarangan Istana Negara dan bersedia dengan 3 trak water canon.

12.30 tengahari

Polis telah menangkap 67 orang di Kuala Lumpur, apabila 17 orang lagi ditahan di Sogo tengahari ini.

11.45 pagi

Polis terus menangkap mereka yang disyaki bakal menjadi para peserta perhimpunan Mansuh ISA petang ini.

Jumlah yang ditangkap hingga jam 11.45 adalah 51 orang apabila sembilan ditahan di Pasar Seni dan enam di Masjid Jamek. Kebanyakan yang ditahan adalah mereka yang memakai baju hitam dan merah, warna rasmi perhimpunan kali ini.


11.15 pagi

Polis memenuhi hampir semua pusat perhimpunan walau pun perhimpunan hanya akan bermula jam 2 petang. Peserta perhimpunan juga mula berkumpul di kawasan-kawasan yang dikenalpasasti sebagai pusat perhimpunan.

Di stesen LRT Masjid Jamek, orang ramai yang berbaju hitam mula berkumpul dan polis juga ramai di sekitar stesen itu.

Ada laporan mengatakan LRT tidak berhenti di stesen-stesen yang dikira menjadi pusat berkumpul. Antaranya Masjid Jamek.

11 pagi

Polis mula menangkap orang awam yang disyaki datang ke ibu kota untuk menyertai demo mansuh ISA.

Di perkarangan Masjid Negara, tiga peniaga di tahan dan disoalsiasat oleh polis kerana menjual bahan-bahan terbitan pro Pakatan Rakyat. Selain mereka, 19 lagi turut ditahan di sini.

Sementara itu, 14 anggota Unit Amal yang mahu membantu perhimpunan ini ditahan. 13 dari Perak manakala seorang dari Melaka. Mereka ditahan sebaik sahaja tiba di KL Sentral.

Walaupun perhimpunan dijangka bermula jam 2 petang ini, namun orang ramai mulai memenuhi pusat-pusat perhimpunan.

Antaranya Masjid Jamek, Sogo, Padang Merbuk, KL Sentral dan juga Pasar Seni.

Tiada ulasan: